Umno ada hak semak kedudukannya dalam PN – Annuar Musa

0
2

TAN Sri Annuar Musa menyifatkan Umno mempunyai asas tertentu yang menyebabkan parti itu mahu mengkaji semula kedudukannya dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu, berkata Umno dan BN berhak menyemak kedudukannya dari semasa ke semasa kerana tidak mustahil melaluinya kerajaan PN boleh diperkasakan lagi.

Katanya, ia sekali gus membentuk muafakat yang lebih tersusun dan lebih bersefahaman.

“Saya berpandangan kita perlukan kebijaksanaan dalam semua tindakan. Dahulukan kepentingan rakyat.

“Kita perlu stabilkan politik negara. Kita juga perlu perkuatkan perpaduan Melayu, iaitu asas kestabilan politik negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata, Umno, PAS dan Bersatu perlu sama-sama bertanggungjawab mewujudkan perpaduan tersebut.

Katanya, politik negara perlu distabilkan dan keutamaan mesti ditumpukan menyelamatkan nyawa rakyat dan mengekang pandemik Covid-19.

“Memulihkan ekonomi negara, meringankan beban hidup rakyat serta jadikan Malaysia sebuah negara berjaya bukan ‘a failed state’ atas apa juga sebab,” katanya.

Beliau berkata, tidak salah untuk Umno, Bersatu dan PAS kembali ke ‘drawing board’ politik agar semuanya dapat melakar sesuatu yang lebih baik untuk Malaysia.

“Untuk itu kita perlu tenang, banyak berfikir dan bijak bertindak.

“Jangan emosi mendorong kita untuk tidak memikirkan keburukan yang boleh menimpa rakyat dan negara kita,” katanya.

Semalam, Umno memutuskan untuk mempertimbangkan semula sokongan kepada PN dan akan memberi syarat baharu kepada kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis. -Malaysiapost