Nurul Huda Abhar
SATU lagi kluster baharu dikenalpasti iaitu Kluster Kencana yang melibatkan daerah Hulu Langat, Petaling, Klang dan Gombak di negeri Selangor, Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Kluster berkenaan juga telah dikenalpasti di daerah Johor Bahru, Batu Pahat dan Pontian di negeri Johor.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 7 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.
“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 16 lagi kes positif Covid-19. Sehingga 14 Oktober, 12 tengah hari, sejumlah 23 individu telah enam disaring, di mana 17 kes dikesan positif.
“Empat individu didapati negatif; dan dua individu masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media, hari ini.
Menurut Dr Noor Hisham, terdapat peningkatan jumlah kluster kluster baharu dilaporkan terutama di Semenanjung Malaysia, di samping peningkatan kes dalam kluster-kluster yang sedia ada.
Tambahnya, berikutan dari peningkatan jumlah kes dan kluster yang aktif ini terdapat beberapa daerah di Semenanjung Malaysia yang telah berubah menjadi zon kuning dan merah.
“Sehingga 14 Oktober 2020, sebanyak 52 daerah yang dilaporkan menjadi zon kuning dan sebanyak 19 daerah telah menjadi zon merah di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Pelbagai tindakan diambil KKM misalnya dengan menjalankan Active Case Detection (ACD), meneruskan aktiviti-aktiviti survelan di klinik-klinik sentinel dan hospital-hospital, aktiviti pembersihan dan nyahkuman, serta meningkatkan ujian, pengesanan, pengasingan dan rawatan,” katanya – Malaysiapost.

