Spekulasi ancaman Umno kepada PN hangatkan suhu politik negara

0
1

SPEKULASI panas ancaman Umno terhadap Perikatan Nasional (PN) pastinya memanaskan suhu politik serta memberi kesan kepada kesibukan tugas yang perlu dibereskan Istana, kata Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Justeru, beliau berkata, pimpinan Pakatan Harapan (PH) menasihatkan supaya semua rakyat tenang dan memberikan kepercayaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan situasi dengan tepat dan bijaksana demi kepentingan semua.

“Mari kita relaks (tenang) seketika sementara institusi Raja kita sedang bertugas.

“Shhh… Raja kita sedang bekerja…!,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan timbul pelbagai spekulasi susulan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang semalam menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan ‘majoriti kukuh dan menyakinkan’ daripada Ahli Parlimen terhadap dirinya.

Kehangatan suhu politik negara semakin membahang apabila Umno menerusi mesyuarat Biro Politiknya memutuskan untuk menarik sokongan mereka terhadap Kerajaan PN jika syarat baharu yang diberikan tidak ditetapi.

Mengulas mengenai dakwaan Anwar memiliki lebih 120 Ahli Parlimen yang menyokongnya, Mujahid berkata, sememangnya setiap dakwaan perlu dibuktikan.

“DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah melalui semua kaedahnya dari medan luar Istana.

“DSAI konsisten ada majoriti kukuh sejak 23 September dan pada 13 Oktober selesai mengadap, DSAI memetik bilangannya iaitu 120 MP.

“Kita dapat lihat peningkatan isi sidang media DSAI dari dakwaan wujud kepada jumlah bilangan. Dari sudut itu, DSAI telah menunjukkan kesahihan dakwaannya,” katanya.

Bagaimanapun, semalam, pihak Istana mengeluarkan kenyataan menjelaskan Anwar hanya memberikan jumlah majoriti diperolehnya tanpa memberikan senarai nama Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, bagi menentukan kesahihan majoriti dan calon Perdana Menteri secara berperundangan bukanlah tugas rakyat mahupun pihak yang bergelut.

Sebaliknya, ia adalah tugas Raja yang sangat kritikal untuk meneruskan perjalanan negara.

“Sudah tentu verifikasi dakwaan ada prosesnya, kaedahnya dan ada teknikalnya dan taktikalnya.

“Rakyat tidak terlibat dalam proses tersebut walaupun gegak gempita komen-komen yang dibuat di luar istana. Sementara hingar-bingar suhu politik di luar meningkat, Istana sibuk memastikan perjalanan undang-undang mengikut lunas-lunas yang telah ditetapkan,” katanya. – Malaysiapost