SPRM bakal dakwa bekas S/U Politik menteri

0
1

SEORANG bekas Setiausaha Politik menteri bakal dihadapkan ke mahkamah kerana dipercayai terlibat dengan kes rasuah berjumlah RM5 juta.

Menurut sumber, lelaki berumur lingkungan 40-an tersebut dikatakan ada hubung kait dengan tender projek di sebuah kementerian.

Tambah sumber itu, lelaki berkenaan dikatakan bakal berdepan beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di Mahkamah Kuala Lumpur pada esok.

“Suspek tersebut juga dikatakan akan didakwa di Mahkamah Shah Alam pada 23 Oktober ini atas kesalahan sama dengan pertambahan beberapa pertuduhan lagi.

”Suspek dipercayai telah membantu syarikat kontraktor mendapatkan projek kementerian itu dan menerima sogokan daripada beberapa individu lain menerusi beberapa transaksi,” kata sumber.

Pada masa sama, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk  Norazlan Mohd Razali ketika dihubungi mengesahkan perkara terbabit.

Menurut Norazlan, tiga lagi pegawai kanan agensi di bawah kementerian tersebut yang pernah disiasat sebelum ini dalam kes yang sama turut akan didakwa.

“Mereka akan didakwa dalam masa terdekat kerana menerima rasuah,” ujarnya. – Malaysiapost