‘Datuk Seri’ larikan diri: Pastikan tiada pegawai SPRM terbabit

0
1

PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) meminta polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama menjalankan penyiasatan khas susulan insiden ‘Datuk Seri’ melarikan diri.

Presidennya, Jais Abdul Karim, berkata ia bagi memastikan tiada pegawai SPRM terbabit dalam usaha suspek melarikan diri.

“Jika ada, maka tindakan tegas mesti diambil. Suspek mesti dikesan semula dengan segera untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, SPRM juga digesa untuk meningkatkan tahap keselamatan dan pengawasan bangunan mereka susulan kejadian berkenaan.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku lagi di masa hadapan bagi memastikan imej baik SPRM terus kekal utuh,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, polis  memburu suspek utama sindiket pengubahan wang haram bergelar Datuk Seri yang melarikan diri selepas dibebaskan SPRM.

Menurut sumber, sepatutnya lelaki terbabit turut ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes pusat panggilan membabitkan kegiatan judi dalam talian.

“Bagaimanapun, suspek difahamkan memanjat pagar di belakang bangunan SPRM sebelum melarikan diri.

“Polis yang ketika itu berada di hadapan bangunan SPRM hanya sempat menahan seorang lagi suspek yang juga dalang utama sindiket itu bersama dua anggota polis bagi membantu siasatan kes terbabit,” katanya. – Malaysiapost