Nilam Oshman
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak dapat berbuat apa-apa berhubung dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beliau mempunyai sokongan untuk menjadi Perdana Menteri, kata Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.
Ini kerana, katanya, baginda tidak menerima senarai nama Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang didakwa menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membolehkan langkah selanjutnya diambil.
“Tiada apa-apa Yang di-Pertuan Agong boleh buat sebab Anwar pun tidak menyerahkan senarai nama Ahli Parlimen kepada Istana Negara,” katanya kepada Malaysiapost.
Justeru, katanya, Yang di-Pertuan Agong telah menasihati Anwar untuk mengikut prosedur Perlembangaan dan kini terpulang kepada Anwar untuk mengemukakan senarai nama berkenaan.
Semalam, Istana Negara mengesahkan Ketua Pembangkang tersebut telah mengemuka jumlah Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang didakwa menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Agong.
Namun, Anwar tidak mengemukakan senarai nama Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut. – Malaysiapost

