Muhammad Mustakim Ramli
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihati rakyat terutama di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak membuat pembelian panik.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pihaknya mendapat maklumat dari lapangan berlaku pembelian panik di beberapa tempat selepas pengumuman PKPB.
Katanya, kementerian yakin perkara itu kecil dan terpencil, namun perlu untuk keluarkan kenyataan supaya tidak menular dan memburukkan keadaan.
“Bekalan terutama barang makanan dan keperluan utama dijamin mencukupi pada harga yang stabil dan munasabah.
“Kementerian telah membuktikan melalui tindakan yang diambil untuk memastikan bekalan makanan tidak terputus semasa PKP dilaksanakan dahulu,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, KPDNHEP mempunyai 2,269 anggota penguatkuasa di seluruh negara yang sentiasa memantau dan memeriksa bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga stabil tanpa kenaikan mendadak.
“KPDNHEP menguatkuasakan Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 dan semua peraturan subsidiari.
“Pengilang, pengeluar, pemborong dan peruncit diingatkan memastikan semua bekalan keperluan sentiasa mencukupi. Sehubungan itu pengguna dinasihatkan membeli barangan mengikut keperluan dan tiada keperluan menyimpan stok berlebihan.
“Pengguna juga digalakkan membuat pembelian secara atas talian bagi mengurangkan pergerakan fizikal ke premis perniagaan. Secara tidak langsung kita dapat membantu memutuskan rantaian pandemik Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

