Aiman Hanif
UMNO tidak menerima sebarang jemputan bagi ketua parti mengadap Yang di-Pertuan Agong susulan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersembahkan sokongan diterimanya di Istana Negara hari ini.
Perkara itu disahkan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ditanya mengenai perkara itu.
“Tak tahu pula saya,” katanya ringkas kepada Malaysiapost, hari ini.
Terdahulu Mohamad ditanya mengenai dakwaan bahawa Agong akan memanggil ketua parti untuk mengesahkan sokongan yang diterima Anwar.
Malah dalam sidang medianya petang tadi, Anwar turut memaklumkan yang dia mengemukakan bukti sahih berhubung sokongan Ahli Parlimen terhadapnya.
Dalam sidang medianya juga, Anwar mendakwa yang beliau memiliki sokongan lebih 120 Ahli Parlimen.
Susulan itu, Istana Negara mengeluarkan satu kenyataan mengesahkan bahawa Anwar mengemukakan jumlah sokongan yang diterimanya seperti mana didakwa.
Bagaimanapun Istana Negara memaklumkan yang Ketua Pembangkang itu tidak mengemukakan senarai nama Ahli Parlimen yang menyokongnya.
Portal berita Malaysiakini yang memetik sumber memaklumkan bahawa DAP akan mengadap Agong esok berhubung perkara itu.
Sementara itu sumber Umno yang juga pegawai kepada Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mengesahkan yang parti itu tidak menerima sebarang jemputan dari Istana Negara.- Malaysiapost

