Anwar tak kemuka senarai nama – Istana Negara

0
2

ISTANA Negara mengesahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan jumlah Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan berkata sesi berkenaan berlangsung selama kira-kira 25 minit.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, sesi menghadap itu sepatutnya berlangsung pada 22 September lalu tetapi ditangguhkan ekoran kegeringan Al-Sultan Abdullah yang telah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara bermula pada 21 September hingga 3 Oktober.

Terdahulu, Anwar dalam sidang media mendakwa sudah mempersembahkan dokumen sahih mengandungi senarai lebih 120 Ahli Parlimen yang menyokongnya menjadi Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, pagi tadi.

Menyentuh perkembangan penularan Covid-19 di Malaysia, khususnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berkuatkuasa esok, Seri Paduka Baginda menzahirkan kegusaran dan menasihati seluruh rakyat supaya bertenang.

Baginda juga meminta rakyat berdisiplin menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi ketetapan tatacara kebiasaan baharu dan prosedur operasi standard (SOP).

“Walaupun perkembangan terkini agak membimbangkan berikutan kenaikan yang berterusan tiga digit kes positif harian Covid-18 serta kewujudan beberapa kluster baharu sejak 1 Oktober lalu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan dan mengajak seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik bersatu padu dan bersatu hati memerangi penularan Covid-19 demi keselamatan bersama serta kesejahteraan negara.

“Adalah dimaklumkan juga, lanjutan kepada pelaksanaan PKPB dan atas titah perkenan Al-Sultan Abdullah, Istana Negara telah melaksanakan sekatan pergerakan separa (semi-lockdown) yang telah berkuatkuasa sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak.

“Seri Paduka Baginda amat prihatin dan menitikberatkan penjagaan dan tahap kesihatan diri pegawai serta kakitangan Istana Negara dan pelaksanaan ini adalah untuk menjaminkan keselamatan dan kesejahteraan warga Istana Negara,” katanya.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata, Al-Sultan Abdullah turut mengajak rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati dan ancaman penularan Covid-19 dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri dengan segera. – MalaysiaPost