Anwar menghadap Agong: Suasana di perkarangan Istana Negara tenang

0
2

KEADAAN tenang di perkarangan Istana Negara ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah di Istana Negara, pagi ini.

Tinjauan mendapati petugas media mula berkumpul di hadapan Pintu 2 Istana Negara seawal jam 8 pagi.

Kehadiran petugas media itu bagi membuat liputan Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang yang dilapor bakal menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan jumlah Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya.

Selain itu, anggota polis turut dilihat ditempatkan di Pintu 2 untuk berkawal di laluan yang dipercayai akan digunakan Anwar untuk masuk ke Istana Negara.

Anwar dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong sekitar jam 10 pagi ini bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu.

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan parti itu tidak menganjurkan sebarang perhimpunan di mana-mana tempat, terutama di jalan utama menuju Istana Negara sempena Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong. -Malaysiapost