Ledakan PKPB kerana ‘kepala bapak’ – Kadir Jasin

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berlaku kerana manusia yang tidak ikut prosedur operasi standard (SOP), kata Datuk A Kadir Jasin.

Tokoh wartawan veteran itu berkata, suka atau tidak, mereka yang terbabit terpaksa patuhi penguatkuasaannya.

Beliau mendakwa, hakikat bahawa penularan semula pandemik ini tidak berlaku dengan sendirinya.

“Virus Corona yang menyebabkan Covid-19 ini tidak tunggang motosikal atau pandu kereta dari rumah ke rumah mencari mangsa.

“Ia tidak juga disebarkan oleh nyamuk, tikus atau pijat. Ia disebarkan oleh manusia yang tidak ikut SOP yang kerajaan laksanakan.

“Tapi siapakah ‘haramzada’ yang menyebabkan ledakan baru pandemik ini?,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKPB akan dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula 14 hingga 27 Oktober ini.

Kadir berkata, jika mengikut perangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ia bukan daripada punca luar yang diimport.

Katanya, punca dari kes import itu ada namun tidak banyak iaitu sekadar dua, tiga kes sehari.

“Ledakan baru ini bermula sebaik saja para politikus ‘kepala bapak’ kecil dan besar balik daripada berkempen, cari makan dan makan angin dalam Pilihan Raya Negeri Sabah 26 September lalu pulang ke Semenanjung dan dengan sewenang-wenangnya melanggar SOP , termasuk Menteri.

“Di kalangan penduduk Sabah di Semenanjung yang balik mengundi pun ada yang membawa pulang wabak itu dan menyebarkannya kepada rakan-rakan mereka,” katanya.

Beliau berkata, politikus kemaruk kuasa yang mencetuskan krisis sehingga memaksa PRN Sabah diadakan wajar dikutuk sekeras-kerasnya.

“Begitu juga Menteri-menteri kerajaan tebuk atap yang berdolak-dalik mengenai keperluan kuarantin kendiri setelah balik daripada berkempen di Sabah.

“Kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab melaksanakan PKPB ini, mohon mereka berpatut padan dan berperikemanusiaan,” katanya. -Malaysiapost