Polis tahan 2 warga asing, rampas 2kg syabu

0
2

POLIS menahan dua lelaki warga asing dan merampas dadah jenis syabu bernilai RM110,000.00 di kawasan jeti Kampung Inderasabah di Tawau, Jumaat lalu.

Tangkapan pada jam 10.20 malam itu dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata kedua-dua suspek berusia 21 dan 26 tahun ditahan hasil maklumat dan risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

“Sebelum ditahan kedua-dua suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah perahu kayu dengan salah seorang mencampak sebuah beg ke dalam air.

“Pemeriksaan lanjut ke atas beg tersebut menemui dua bungkusan plastik teh cina yang masing-masing dibalut dengan pembalut plastik lutsinar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peter berkata, siasatan lanjut ke atas setiap bungkusan mendapati di dalamnya mengandungi satu bungkusan plastik lutsinar berisi bahan ketulan hablur jernih seberat 2103.04 gram disyaki syabu.

Katanya, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah namun ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Kedua-duanya direman tujuh hari bermula 10 Oktober untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta sama,” katanya. – Malaysiapost