Petugas KKM layak tuntut dana khas jika dijangkiti Covid-19

0
1
KUALA LUMPUR 27 SEPTEMBER 2020. Kakitangan Kementerian Kesihatan menjalankan ujian saringan covid kepada semua pengembara dari Sabah yang tiba di pintu masuk antarabangsa dan domestik. NSTP/IHSAN FB KKM

Nurul Huda Abhar

PETUGAS barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) layak menuntut dana khas jika dijangkiti Covid-19 sewaktu bertugas menangani penularan wabak berkenaan.

Dana MOH FWD MY Heroes tersebut merupakan inisiatif dan dedikasi Cuepacs bersama FWD Takaful Berhad kepada petugas barisan hadapan KKM dan ahli keluarga mereka yang berjumlah RM5 juta.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, sejak dana ini dilancarkan pada 1 April 2020, hanya 288 tuntutan telah diterima dengan nilai berjumlah RM732,000.

Menurut Adnan, berdasarkan laporan KKM, terdapat lebih 406 petugas kesihatan di hospital kerajaan telah dijangkiti Covid-19 tidak termasuk ahli keluarga mereka.

“Cuepacs dan FWD Takaful telah membuat pembayaran kepada satu tuntutan melibatkan kes kematian akibat Covid-19 sebanyak RM50,000, 10 tuntutan kematian akibat lain-lain sebab (RM100,000) dan 274 tuntutan kemasukan ke wad (RM552,000).

“Cuepacs menjangkakan tuntutan akan bertambah berdasarkan jumlah kes di Sabah. Justeru, Cuepacs menggesa dan menggalakkan semua ketua jabatan di KKM menghebahkan inisiatif Dana MOH FWD MY Heroes kepada kakitangan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata, petugas barisan hadapan KKM yang dikenalpasti bertugas secara rasmi bagi menangani penularan wabak Covid-19 termasuk doktor, jururawat, paramedik, juruteknik makmal, pekerja ambulans, pekerja pentadbiran hospital dan kakitangan KKM.

Tambahnya, terdapat dua tuntutan boleh dikemukakan iaitu Pembayaran Ihsan dan Elaun Pelepasan di mana Pembayaran Ihsan dibayar sekiranya berlaku kematian petugas barisan hadapan sahaja.

”Sejumlah RM40,000 akan dibayar sekiranya kematian disebabkan oleh jangkitan Covid-19. Sejumlah RM10,000 akan dibayar sekiranya kematian akibat lain-lain sebab.

“Untuk Elaun Pelepasan, tuntutan akan dibayar sekiranya petugas barisan hadapan dan ahli keluarga mereka dimasukkan ke mana-mana hospital kerajaan akibat jangkitan Covid-19.

“Sejumlah RM10,000 akan dibayar sekiranya dimasukkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi) manakala RM2,000 dibayar sekiranya dimasukkan ke wad biasa.

“Kelayakan bagi pembayaran elaun pelepasan bagi wad biasa akan bergantung kepada nasihat yang diberikan berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh KKM,” katanya lagi.

Katanya, ahli keluarga adalah termasuk pasangan sah, anak-anak dan ibu bapa. Anak-anak mestilah berusia tidak kurang dari 25 tahun, belum berkahwin dan tidak bekerja.

Sementara itu, manfaat ini percuma bermula 1 April lalu sehingga 31 Disember 2020 atau sehingga dana khas terbabit habis diguna pakai.

Tambahnya, petugas barisan hadapan KKM yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai dana ini boleh merujuk laman web www.cc4usolutions.my. – Malaysiapost