POLIS membuka dua kertas siasatan terhadap Tropicana Golf & Country Resort (TGCR) kerana ingkar arahan Kementerian Kesihatan untuk menutup operasinya, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengarahkan kelab golf berkenaan menutup operasinya kelmarin.
Dia berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan perbuatan yang menyebabkan merebaknya penyakit membahayakan nyawa.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Kementerian Kesihatan mengeluarkan surat arahan tutup operasi kepada pengurusan kelab golf kelmarin, namun pemeriksaan semalam mendapati operasi berjalan seperti biasa.
“Susulan itu, Kementerian Kesihatan membuat laporan polis di Balai Polis Damansara, bagi membolehkan polis menjalankan siasatan,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya, hari ini.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan perbuatan yang menyebabkan merebaknya penyakit membahayakan nyawa.
Nik Ezanee berkata, seramai 20 anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditugaskan mengawal lokasi PKPD itu dan dibantu kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Angkatan Perkhidmatan Awam (APM).
Sementara itu Nik Ezanee berkata, seramai 23 pekerja kelab golf itu disahkan positif Covid-19, termasuk 12 orang yang disahkan positif hari ini.
Jelasnya, 12 pekerja yang disahkan positif hari ini akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk diberikan rawatan.
Katanya, KKM akan membuat kemas kini senarai penghuni asrama yang akan disaring terlebih dulu memandangkan ada yang belum menjalani ujian itu.
“Seramai 597 pekerja kelab golf berkenaan mendiami tiga blok asrama membabitkan 358 pekerja asing dan selebihnya 239 warga tempatan,” katanya lagi.- Malaysiapost
Foto Kredit: Berita Harian

