PIHAK pendakwaan dalam kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek jalan utama akan meminda dua daripada empat pertuduhan dihadapinya.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin semasa sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini.
“Pihak kami akan mengemukakan pindaan tersebut pada tarikh sebutan semula kes 28 Oktober depan, apabila tertuduh hadir ke mahkamah,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Wan Shaharuddin turut memohon tarikh perbicaraan kes itu ditetapkan ketika kehadiran tertuduh pada tarikh sama dan Azura membenarkan permohonan itu.
Terdahulu, Azura turut membenarkan permohonan peguam Gobind Singh Deo untuk mengecualikan Guan Eng, 60, daripada menghadiri prosiding hari ini kerana tertuduh perlu ke mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Pada 7 Ogos lepas, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, telah secara rasuah meminta bagi pihak dirinya sendiri suatu suapan, iaitu, balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang merupakan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.
Suapan itu adalah sebagai upah bagi melakukan suatu perkara yang dicadangkan, iaitu, membantu syarikat Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang. – Malaysiapost

