Kerajaan Selangor tak setuju PKPB seluruh negeri

0
1

KERAJAAN Selangor akan menghantar cadangan balas kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan segera agar pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri itu dapat diberi pertimbangan semula.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pengumuman PKPB di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agak mengejutkan.

Ini kerana, katanya, mesyuarat MKN Negeri Selangor bersama agensi lain yang dipengerusikan beliau hari ini menunjukkan hanya Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling mempunyai bilangan kes membimbangkan.

“Perlu dinyatakan di sini bahawa sehingga hari ini, secara konsensus kerajaan negeri melihat ada beberapa cadangan tertentu yang boleh dikemukakan kepada MKN untuk dipertimbangkan.

“Kerajaan negeri berpandangan bahawa beberapa kawasan yang masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor adalah masih terkawal.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan menghantar cadangan balas kepada pihak MKN dengan segera agar dapat diberi pertimbangan semula,” katanya menerusi kenyataan sebentar tadi.

Amirudin berkata, kerajaan negeri berharap semua pihak bersedia dengan perubahan itu agar sama-sama berjaya mengawal penularan wabak Covid-19.

Kerajaan negeri juga, katanya, sangat menghargai komunikasi krisis yang lebih efektif dan konklusif melibatkan semua pihak.

Katanya, ini supaya sebarang ketetapan yang diambil tidak menghasilkan sebarang bentuk ketidaktentuan pelaksanaan yang akan memberi impak kepada petugas barisan hadapan, rakyat lebih-lebih lagi pengusaha industri kecil dan sederhana.

Beliau turut memaklumkan berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19, beliau hari mempengerusikan Mesyuarat MKN Selangor bersama agensi berkaitan lain untuk pelaksanaan PKPB di daerah Petaling.

Terdahulu hari ini, Ismail Sabri mengumumkan PKPB akan dikenakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula lusa hingga 27 Oktober.

Ia selepas mendapat nasihat KKM dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan yang berlaku, seperti di Klang, Petaling dan kes dilihat meningkat di Gombak dan dearah-daerah lain. – Malaysiapost