Nurul Huda Abhar
PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah berkuat kuasa tengah malam ini sehingga 26 Oktober.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia diputuskan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat di negeri tersebut.
”Pergerakan keluar masuk serta merentas daerah tidak dibenarkan. Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.
“Hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.
“Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup. Masjid dan surau serta rumah ibadat bukan Islam lain adalah ditutup,” katanya dalam satu sidang media khas, hari ini.
Menurut Ismail Sabri, semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan adalah tidak dibenarkan.
Tambahnya, kegiatan sektor ekonomi, industri dan perniagaan dibenarkan beroperasi seperti biasa namun perlu mematuhui prosedur operasi standart (SOP) ketat yang telah dan akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Operasi Pasar Borang, Pasar harian (6.00 pagi – 2 petang), kedai barang keperluan dan kedai runcit (6 pagi – 6 petang) dan restoran, kedai-kedai makan, warung-warung, kedai runcit dan serbaneka dibenarkan (6.00 pagi – 6petang) terhad untuk pembelian secara pandu lalu, penghantaran serta take away,” katanya.
Katanya lagi, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Felda Umas, Tawau berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam ini hingga 26 Oktober.
Tambahnya, PKPD ini akan melibatkan 800 buah rumah dengan seramai 17,549 penduduk di kawasan tersebut.
“Semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada rumah masing-masing. Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkanuntuk keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada PDRM.
“KKM akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk yang terlibat. Bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh Kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri,” ujarnya. – Malaysiapost

