Amanah serah kepada kebijaksanaan Agong buat keputusan

0
1

PARTI Amanah Negara (Amanah) menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan dalam hal berkaitan situasi politik negara susulan Datuk Seri Anwar Ibrahim diperkenan mengadap baginda, esok.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata parti itu yakin Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah cukup arif dalam menguruskan perkara tersebut.

“Sejak Khamis yang lepas, masyarakat umum membicarakan tentang tarikh 13 Oktober 2020 susulan kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diperkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong.

“Susulan dari kenyataan tersebut, timbul pelbagai spekulasi tentang politik negara.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya ahli-ahli Amanah agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh mengguriskan hati mana-mana pihak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohamad berkata pimpinan Amanah akan bermesyuarat bagi menentukan arah tuju parti buat masa ini dan akan datang dengan penuh berhemah.

“Dalam masa sama, gelombang ketiga Covid-19 melanda negara. Jumlah kes positif baharu terus meningkat. Justeru perlulah kita semua mematuhi SOP dan peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia kerana kita belum menang dalam melawan musuh yang tidak nampak ini,” katanya. – Malaysiapost