6 kluster baharu dicatatkan, 3 di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya

0
1

Nurul Huda Abhar

ENAM kluster baharu dicatatkan hari ini dan tiga daripadanya berlaku di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, di Kuala Lumpur terdapat dua kluster baharu iaitu Kluster Baiduri dan Kluster Bah Perdana.

“Kluster Baiduri ini melibatkan Hulu Langat, Selangor dan Cheras, Kuala Lumpur.

“Saringan kontak rapat telah mengesan 17 lagi kes positif Covid-19.

“Sehingga 12 tengah hari 12 Oktober, sejumlah 39 individu telah disaring, di mana 18 kes dikesan positif dan sembilan lagi masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi Kluster Bah Perdana pula telah dikenal pasti di Cheras, Kuala Lumpur dengan kes indeks bagi kluster itu telah dikenal pasti positif hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi.

Katanya, saringan kontak rapat telah mengenal pasti lapan lagi kes positif Covid-19 dan sehingga 12 Oktober seramai sembilan kes dikesan positif dan 13 lagi masih menunggu keputusan.

“Kluster Bah Tropicana pula dikenal pasti di Petaling, Selangor juga pulang dari kawasan berisiko tinggi.

“Saringan kontak rapat telah mengesan 13 lagi kes positif Covid-19.

“Bagi Kluster Bah Kasturi, melibatkan Seremban di Negeri Sembilan, Cheras dan Putrajaya serta Klang, Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Kuala Langat di Selangor.

“Saringan kontak rapat telah mengesan 17 lagi kes positif Covid-19. Sejumlah 39 individu telah disaring, di mana 18 kes dikesan positif,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikenakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula Rabu ini hingga 27 Oktober.

Keputusan itu dicapai setelah mendapat nasihat KKM dan mengambil penularan kes yang berlaku seperti di Klang, Petaling dan kes dilihat meningkat di Gombak dan dearah lain. – Malaysiapost