FELDA lantik Amiruddin sebagai Pengarah Besar baharu

0
1

FELDA mengumumkan pelantikan Datuk Amiruddin Abdul Satar sebagai Pengarah Besarnya berkuat kuasa Khamis ini.

Amiruddin berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Henley Business School University of Reading, United Kingdom mempunyai pengalaman lebih 31 tahun dalam bidang kewangan dan perniagaan.

Karier korporat Amiruddin sebahagian besarnya, adalah bersama KPJ Healthcare Berhad dengan jawatan terakhir sebagai Presiden dan Pengarah Urusan syarikat itu.

Beliau juga Ahli Jawatankuasa Penasihat Association of Chartered Certified Accountant (ACCA) Malaysia.

“FELDA yakin dengan kehadiran Amiruddin sebagai Pengarah Besar yang baharu akan membawa kesinambungan kepada usaha pemulihan dan transformasi FELDA yang ketika ini berada pada landasan yang tepat,” menurut kenyataan itu.

Pelantikan Amiruddin itu bagi menggantikan Datuk Dr Othman Omar yang tamat perkhidmatannya, 30 September lalu.

FELDA berharap dengan pelantikan itu, Amiruddin dapat meneruskan aspirasi syarikat untuk terus menjadi payung kepada kesejahteraan warga peneroka dan akan memfokuskan usaha meningkatkan pendapatan serta menambah baik taraf sosioekonomi warga peneroka.

“Seluruh ahli lembaga pengarah, pengurusan serta petugas mengucapkan selamat datang kepada beliau dan berharap supaya pengalaman serta kepakaran beliau akan dapat memacu FELDA kembali gemilang dan terbilang selaras dengan wawasan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh,” katanya. – Malaysiapost