Covid-19: Rakyat Malaysia antara positif di Singapura

0
1

SEORANG rakyat Malaysia antara tujuh kes import Covid-19 yang diumumkan Kementerian Kesihatan Singapura semalam.

Wanita berusia 23 tahun yang memegang permit kerja di republik itu, diletak di bawah notis kuarantin di rumah sejurus tiba, kata kementerian berkenaan dalam data penuh yang dikeluarkan lewat semalam.

Kelmarin, Singapura melaporkan 10 kes baharu termasuk tiga jangkitan tempatan, menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 di negara itu sebanyak 57,876 kes.

Bernama melaporkan, Kementerian Kesihatan berkata kesemua kes baharu berkenaan tidak bergejala dan dikesan menerusi saringan dan pemantauan proaktif.

Republik itu mengklasifikasikan 1,132 daripada jangkitan yang dilaporkan setakat ini sebagai kes import, 2,260 jangkitan dalam komuniti dan 54,484 kes membabitkan penghuni asrama pekerja asing.

Setakat semalam, dua kluster iaitu di Kranji Lodge I dan asrama Westlite Woodlands diumum tamat memandangkan tiada jangkitan baharu dilaporkan dalam dua tempoh inkubasi iaitu 28 hari.

Negara itu juga melaporkan 57,705 kes sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan keluar hospital hospital atau pusat jagaan komuniti.

Pada masa ini, terdapat 44 kes yang disahkan masih dirawat di hospital dengan seorang pesakit dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU).

Sementara itu, 100 pesakit yang bergejala ringan atau sihat dari segi klinikal, namun diuji positif COVID-19, diasingkan dan dirawat di pusat jagaan komuniti.

Setakat ini, Singapura mencatatkan 27 kematian akibat komplikasi COVID-19 dengan dua kes pertama direkodkan pada 21 Mac lalu. – Malaysiapost

Foto Kredit: Awani