18 Ahli Parlimen PAS sokong Muhyiddin

0
1

PAS hari ini menegaskan semua 18 Ahli Parlimen parti itu menyokong penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata PAS tidak terkesan langsung dengan retorik yang dibawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mendapat sokongan majotiti Ahli Dewan Rakyat.

“PAS menganggap isu dibangkitkan oleh individu sama ini adalah tindakan terdesak yang mempunyai kepentingan dan cita-cita peribadi di samping menangguk air keruh ketika kerajaan PN sedang menguruskan masalah COVID-19 serta langkah pemulihan ekonomi negara.

“Dalam hal ini, PAS amat yakin Yang di-Pertuan Agong tidak akan melayan tindakan ‘desprados’ ini, sebaliknya Baginda akan mengendalikannya berdasarkan peruntukan dan undang-undang berdasarkan Perlembagaan negara.

“PAS turut berharap kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan keresahan dan kekeliruan rakyat, di samping mengakibatkan terjejasnya sektor ekonomi negara akibat tindakan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Khamis lalu, Anwar mendakwa beliau mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Selasa ini.

Anwar berkata, pada majlis menghadap tersebut beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang pernah disebutkan sebelum ini.

Pada 23 September lalu, Anwar memberitahu bahawa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat. -Malaysiapost