SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel atau mesej untuk menuntut hadiah berupa wang tunai yang kembali tular dalam media sosial.
SKMM berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang e-mel atau mesej kepada orang awam untuk menuntut hadiah berupa wang tunai di bawah satu skim bonus yang ditawarkan oleh sebuah syarikat telekomunikasi.
SKMM memaklumkan hasil pemantauan yang dijalankan oleh Rangkaian Pemantauan Perisikan Siber mendapati, mangsa akan ditujukan mesej berkenaan masih mempunyai transaksi yang belum diselesaikan.
“Ia membabitkan transaksi dengan syarikat Telekom Malaysia Berhad, iaitu sebagai pemenang hadiah wang tunai sebanyak RM270,000 di bawah skim TM Family Gift Bonus.
“Elak daripada memberikan butiran peribadi seperti kad dan nombor akaun bank kepada individu yang tidak dikenali,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, SKMM turut menegaskan sebarang penggunaan logo suruhanjaya tersebut oleh mana-mana pihak tanpa mendapat kelulusan adalah satu kesalahan.
Sebarang laporan dan aduan berhubung penerimaan mesej sedemikian boleh dimajukan kepada SKMM melalui talian aduan 1-800-188-030 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 016-2206262. -Malaysiapost

