MP Sabah wajib jalani ujian Covid-19, kuarantin 14 hari sebelum sidang Parlimen

0
2

SEMUA Ahli Parlimen dari Sabah perlu menjalani ujian Covid-19 serta kuarantin selama 14 hari sebelum menghadiri sidang Dewan Rakyat bermula 2 November hingga 15 Disember ini.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, berkata perkara itu dimaklumkan menerusi surat rasmi daripada Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin, susulan peningkatan kes Covid-19 di Sabah, baru-baru ini.

Beliau berkata, semua ahli parlimen dari negeri itu perlu berada di Kuala Lumpur
selewat-lewatnya pada 17 Oktober ini bagi menjalani ujian dan kuarantin berkenaan.

Beliau berkata, sidang Parlimen kali ini amat penting untuk negara kerana ia membabitkan perbahasan mengenai Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“MP (Ahli Parlimen) tidak harus mengabaikan tanggungjawab mereka dengan ketidakhadiran di Dewan semata-mata SOP (prosedur operasi standard) yang nampak menyusahkan kehidupan harian.

“Selaku MP yang bertanggungjawab, saya akan mematuhi SOP yang ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Dengan demikian, saya terpaksa berada di luar kawasan Parlimen Kota Kinabalu lebih kurang dua bulan, sampai habisnya sidang kali ini pada 15 Disember,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Beliau berkata, semua pihak perlu bersatu bersama-sama memerangi gelombang ketiga pandemik Covid-19 demi negara tercinta.

“Tiada double standard (pilih kasih), tiada perbezaan antara dua darjat. Tak payah ajaran Abah, tak payah menakutkan dengan rotan,” katanya lagi. -Malaysiapost