Lambat buat keputusan status persekolahan, Menteri Pendidikan dibidas

0
3

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengkritik Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin yang didawa lambat membuat keputusan mengenai status persekolahan susulan peningkatan Covid-19.

Asyraf berkata, rakyat tertunggu-tunggu selama seminggu keputusan sama ada sesi persekolah diteruskan atau ditutup.

“Namun, akhirnya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuat kenyataan.

“Sudah seminggu rakyat resah menantikan petunjuk dan maklumbalas Menteri Pendidikan merangkap Menteri Kanan Persekutuan berkenaan dengan status persekolahan di kala gelombang Covid-19 sedang menular.

“Akhirnya Perdana Menteri sendiri yang buat kenyataan,” katanya menerusi Facebook.

Katanya lagi, janganlah semua perkara bergantung dengan Perdana Menteri, Mohd Radzi perlu bertindak pantas dan efisien supaya rakyat tahu apa yang perlu dilakukan.

“Takkanlah setiap perkara Perdana Menteri yang kena umumkan. Menteri seharusnya cepat berkomunikasi dengan rakyat.

“Kena kritik mahupun kecam itu biasa tetapi jangan sampai rakyat dibiar dalam kegelapan hingga hilang kepercayaan dan keyakinan,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut meminta pandangan daripada pengikutnya di Facebook mengenai isu itu.

“Apakah pandangan semua mengenai strategi komunikasi Kerajaan ketika ini? katanya.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan arahan menutup sekolah jika terdapat guru atau murid yang disahkan positif Covid-19.

Muhyiddin berkata, Kementerian Pendidikan boleh mengeluarkan arahan tersebut tanpa menunggu penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). -Malaysiapost