Covid-19: Anwar, pemimpin politik digesa laksana ‘genjatan politik’ bagi tangani wabak

0
2

SEMUA pemimpin politik termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran melakukan ‘genjatan politik’ demi memastikan kerajaan dan rakyat dapat menumpukan perhatian dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Eddin Syyazlee Shith, berkata jika pemimpin dan ahli politik masih galak bercakap dan memainkan isu retorik ia sekali gus akan menimbulkan kemarahan rakyat.

“Justeru, saya menggesa pemimpin politik termasuk Anwar yang difahamkan mahu memulakan langkah politik beliau, supaya menangguhkan dahulu sebarang hajat politik berkenaan sehingga kes Covid-19 dapat ditangani sebaik mungkin.

“Rakyat akan menuduh orang politik hanya mementingkan kuasa berbanding kestabilan serta keselamatan negara,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam keadaan Malaysia sekali lagi berdepan dengan gelombang kedua wabak itu, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak bertindak dan memanipulasi isu-isu politik ketika ini.

“Saya percaya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan lalu dan disusuli dengan bertambahnya kes Covid-19, rakyat sudah muak untuk melayan sebarang polemik politik negara.

“Saya juga berpandangan pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) perlu membuat pendirian untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi susulan kematian Ahli Parlimennya, Liew Vui Keong,” katanya.

Beliau berkata, keputusan tidak bertanding itu bagi mengelakkan berlakunya situasi dan suasana tidak terkawal ketika proses berkempen.

Katanya, sudahlah selepas PRN Sabah, orang politik dilemparkan pelbagai tuduhan dan tohmahan sebagai punca peningkatan kes Covid-19 ini.

“Kita tidak mahu rakyat terus mempunyai persepsi negatif terhadap kumpulan kita.

“Seeloknya kita semua memberi ruang dan peluang serta membantu kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha melawan pandemik Covid-19 ini.

“Saya juga berdoa semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan kita membendung wabak ini dan semoga Allah menghapuskan Covid-19 di Malaysia serta seluruh dunia,” katanya. -Malaysiapost