BN Sabah sokong keputusan tidak tanding PRK Batu Sapi

0
1

BARISAN Nasional (BN) Sabah akur dan menyokong keputusan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi bagi mencegah penularan Covid-19.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu sudah dibincangkan di peringkat negeri dan ia dipersetujui sebulat suara.

“BN Sabah menghormati dan menyokong keputusan itu memandangkan Sabah ketika ini berdepan dengan gelombang pandemik Covid-19 yang angkanya saban hari meningkat dan amat membimbangkan,” katanya dalam kenyataan.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, keputusan itu juga selaras dengan tumpuan kerajaan negeri ketika ini iaitu untuk membendung penularan Covid-19.

“Sekarang bukan masanya menuding jari antara satu sama lain mengenai punca peningkatan kes Covid-19.

“Perkara ini adalah musibah yang perlu ditangani bersama tanpa mengira fahaman politik,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi kenyataan medianya menyatakan keputusan BN untuk tidak bertanding pada PRK itu disebabkan peningkatan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan.

PRK Batu Sapi perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong minggu lalu. -Malaysiapost