CtfaAnwar
SEJAK beberapa hari lalu, tular di media sosial, dokumentari yang sedang popular di Netflix mengenai kes pembunuhan kejam yang mengemparkan Amerika Syarikat dan dunia pada 2018.
Tajuknya ‘American Murder: Family Next Door’. Apabila ramai kenalan di Facebook berkongsi mengenai dokumentari itu dan memberi penilaian tinggi terhadap rancangan tersebut ia turut menjentik hati penulis menontonnya.
Ternyata ia rancangan tidak rugi ditonton dan sesuai menjadi ‘peneman’ anda berhujung minggu di rumah dalam suasana negara diancam Covid-19 ini.
Apa yang menarik mengenai dokumentari ini selain diangkat daripada kisah benar, ia bukan seperti rancangan penyiasatan biasa yang selalunya menggunakan ‘lakonan semula’ dalam setiap babak dan plot cerita.
Sebaliknya, semua visual dan rakaman video adalah yang asli daripada siasatan pihak berkuasa Amerika Syarikat.
Kisahnya mengenai seorang lelaki bernama Christopher Watts membunuh isterinya, Shanan Wattss, 34 yang hamil 15 minggu dan dua anak perempuan mereka Bella, 4, dan Celeste, 3.
Secara ringkas, ia berkisar ‘kebodohan’ Christoper atau dipanggil Chris memanipulasi kes kehilangan isteri dan anaknya kepada polis untuk menutup jenayah kejam yang dilakukan.
Berita kehilangan wanita dan dua anak kecilnya itu mendapat liputan meluas media di Amerika termasuk Malaysia pada tahun itu.
Malah, Chris dalam wawancara bersama wartawan turut ‘berlakon’ tertekan dan merayu mereka untuk kembali ke pangkuannya.
Menariknya dokumentari ini menyingkap sisi berbeza Chris yang sebelum ini digambarkan seorang bapa penyayang dan suami yang ‘sempurna’ di media sosial isterinya.
Pakej yang cukup lengkap untuk menjadi lelaki dambaan wanita sebagai teman hidup.
Keadaan itu sekali gus, mengaburi mata masyarakat dan jiran mereka yang pastinya tidak mengesyaki lelaki itu boleh bertindak kejam membunuh keluarga sendiri.
Dalam dokumentari satu episod itu juga memaparkan perjalanan siasatan polis dari hari kejadian yang akhirnya membongkar tembelang Chris.
Lelaki itu memaklumkan kepada polis bahawa sebelum isteri dan dua anaknya hilang mereka ‘bertekak’ selepas Chris menyatakan hasratnya untuk bercerai.
Bagaimanapun, penyiasatan polis tidak menjumpai petunjuk wujud individu lain, melainkan mengaitkan Chris sebagai supek utama, namun lelaki itu menafikan.
Akhirnya , beliau menjalani ujian poligraf selama lima jam untuk mengesan pembohongan dan ternyata dia gagal dalam ujian berkenaan.
Selepas ‘ditekan’ pihak berkuasa dia mengakui membunuh isterinya dan mendakwa kononnya wanita itu bertindak luar kawal mencekik mati dua anaknya.
Namun polis yakin isterinya tidak membunuh anaknya itu dan Chris berbohong. Dipendekkan cerita, dia akhirnya mengaku membunuh semua mereka.
Isterinya dicekik hingga mati sementara dua anaknya ditekap hingga lemas dengan selimut.
Isterinya ditanam di satu kawasan yang jauh dari rumah mereka, sementara mayat dua anak perempuannya yang comel dibenamkan dalam dua tangki minyak mentah.
Atas kesalahan itu, dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan terlepas hukuman mati kerana mahkamah menjelaskan beliau mengaku bersalah atas semua pertuduhan berkenaan.
Daripada bapa penyayang dan suami bertanggungjawab, lelaki itu bertukar menjadi pembunuh kejam selepas menemui ‘kekasih gelap’ yang baharu.
Malah, sejak menemui perempuan simpanannya itu Chris dilaporkan bersikap dingin dengan isterinya sehingga kebahagian rumah tangga mereka hancur sekali gus mengheret ke jenayah kejam ini.
Bagi penulis, ia satu dokumentari jenayah yang wajib ditonton, selain unsur pengajaran yang boleh diambil iktibar, ia memaparkan bagaimana pihak berkuasa Amerika Syarikat mengendalikan kes pembunuhan berkenaan.
Bagaimana, Chris mampu berpura-pura seolah-olah dia juga bagai ‘putus nyawa’ selepas isteri dan anaknya hilang.
Selain itu, bagaimana ujian poligraf boleh dijadikan ‘senjata’ untuk memerangkap penjenayah untuk menceritakan perkara sebenar.
Namun, pada hemat penulis rancangan ini tidak sesuai untuk individu di bawah 18 tahun kerana ada terselit babak menyentuh hubungan intim suami isteri.
Sebelum mengakhiri artikel ini, pada penulis benarlah bahawa semua yang terlihat di media sosial bukanlah cerminan dunia realiti hari ini. Selamat berhujung minggu! -Malaysiapost

