Rugi lebih RM480,000 kerana rakan Facebook

0
1

SEORANG ibu tunggal rugi lebih RM480,000 selepas ditipu sindiket Love Scam dalam kejadian di Gua Musang, Kelantan.

Pesara kerajaan berusia lewat 50-an itu sebelum itu berkenalan dengan seorang lelaki Melayu yang mendakwa menetap dan bekerja di dalam industri minyak dan gas di United Kingdom menerusi laman Facebook, bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintenden Ahmad Azizul Mohamed ,berkata tidak lama setelah berkenalan, lelaki itu memberitahu ingin menghantar wang perbelanjaan berjumlah RM650,000 kepada mangsa.

“Hujung bulan lalu, mangsa dihubungi seorang wanita kononnya bertugas di Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan bahawa rakan Facebooknya itu telah memindahkan sejumlah wang untuk diproses.

“Bagaimanapun, mangsa diminta membuat bayaran bagi mengelakkan wang tersebut dibekukan,” katanya seperti dilapor Utusan.

Ahmad Azizul berkata, dalam tempoh kurang dua minggu, mangsa membuat beberapa transaksi pindahan wang berjumlah lebih RM480,000 ke satu akaun bank milik wanita yang menyamar sebagai pegawai BNM itu.

Katanya, mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, semalam dan kes dilklasifikasikan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -Malaysiapost