PKPD di 7 lokaliti di Semporna, Kunak

0
1

KERAJAAN bersetuju mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh lokaliti di daerah Semporna dan Kunak di Sabah membabitkan 35,643 penduduk.

Enam lokaliti di Semporna ialah Kampung Bangau-Bangau dan sekitarnya, Kampung Panji, Kampung Air, Kampung Selamat, Kampung Simunul dan Kampung Pinggir Bakau, manakala Kampung Pangkal di Kunak.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun Semporna kini dilaksanakan PKP Bersyarat, prosedur operasi standard (SOP) bagi lokaliti terbabit adalah berbeza.

Beliau juga mengumumkan PKPD di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan Tawau, dilanjutkan 14 hari lagi bermula esok hingga 25 Oktober.

“Keputusan melanjutkan PKPD di kawasan itu berdasarkan penilaian risiko terhadap penularan pandemik berkenaan,” katanya.

Beliau turut mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) Secara Pentadbiran di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna di Sabah dilanjutkan mulai lusa hingga 26 Oktober.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata dalam usaha mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sabah, kerajaan mengambil tiga ketetapan baharu yang dikuatkuasakan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) mulai 11 Oktober iaitu: 

1. Pergerakan keluar bot kecil dari pulau-pulau ke tanah besar termasuk bot di kawasan pesisir pantai bagi tujuan membeli makanan dan keperluan asas hanya antara jam 6 pagi hingga 2 petang

2. Bot nelayan dan bot membawa ikan di yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan hanya dibenar pada jam 6 pagi hingga 6 petang di jeti-jeti dibenarkan dan tertakluk permit dikeluarkan ketua polis daerah.

3. Semua kapal dagang dari Indonesia dan Filipina yang masuk ke perairan Sabah bagi tujuan ‘barter trade’ tidak dibenarkan – Malaysiapost