KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) diberi kuasa untuk menentukan penutupan sekolah yang difikirkan perlu berikutan peningkatan kes Covid-19 selepas berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan mengambil maklum pandangan rakyat berhubung isu sesi persekolahan berikutan kebimbangan terhadap peningkatan kes Covid-19.
“Kita tahu pelbagai pandangan oleh rakyat berkaitan penutupan sekolah.
“Saya percaya KPM akan mengumumkan sesuatu dan menentukan langkah seterusnya untuk sekolah selepas berbincang dengan KKM,” katanya dalam sidang media hari ini.
Sebelum ini pelbagai pihak mendesak kerajaan menutup sekolah khususnya yang mencatatkan kes positif Covid-19 demi keselamatan murid dan guru.
Antaranya, CUEPACS hari ini melahirkan kebimbangan apabila sesi persekolahan di sekolah yang mempunyai kes positif Covid-19 tetap berjalan seperti biasa.
Presidennya, Adnan Mat berkata pihaknya mendapat maklum balas hampir semua sekolah yang merekodkan kes Covid-19 tidak kira sama ada murid atau guru, mencatatkan penurunan kehadiran murid yang sangat rendah.
Katanya, kemerosotan kehadiran murid berasas kerana ibu bapa pasti bimbang keselamatan anak mereka yang mungkin terdedah dengan penularan Covid-19.
“Dalam hal ini CUEPACS mencadangkan agar mana-mana sekolah yang mencatatkan kes positif Covid-19 perlu ditutup sementara waktu bagi melaksanakan langkah-langkah pencegahan sewajarnya,” katanya. – Malaysiapost

