Jabatan Penjara hargai bantuan Ebit Lew

0
1

JABATAN Penjara Malaysia menzahirkan penghargaan kepada pendakwah bebas, Ustaz Ebit Liew kerana membantu dan memberikan sumbangan kepada agensi tersebut atas semangat kesukarelaan. 

Menerusi kenyataan hari ini, Jabatan Penjara berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak bagi meringankan beban kerajaan untuk menangani Covid-19 yang menular di penjara. 

“Pihak jabatan sangat bersyukur dan bernasib baik kerana terdapat pelbagai pihak badan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang perseorangan tampil menyalurkan bantuan dalam pelbagai bentuk untuk membantu Penjara yang terkesan dengan masalah ini. 

“Di samping itu, Jabatan Penjara memberi jaminan bahawa pihak pengurusan Penjara sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap hal ehwal kebajikan warga jabatan yang berada di bawahnya,” katanya.

Jabatan Penjara juga berharap agar bantuan daripada mana-mana pihak tidak dipolitikkan bagi tujuan yang boleh memudaratkan maksud asalnya. 

Semalam, menerusi hantaran di laman Facebooknya, Ebit memaklumkan menerima surat rasmi dari Penjara Pokok Sena, Kedah yang meminta bantuan untuk mangsa Covid-19 yang menjalani dikuarantin.

Justeru, beliau menyerahkan barangan keperluan seperti makanan, tilam, bantal, tuala, cadar untuk 200 orang termasuk 10 kipas serta 2000 helai kain penutup muka. – Malaysiapost