TIDAK wujud situasi tegang antara Bersatu dengan Umno yang didakwa bakal menjejaskan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional.
Perkara itu ditegaskan Menteri Besar Perak yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menyifatkan hubungan kedua-dua parti kukuh dan sangat baik, sama ada peringkat persekutuan mahupun negeri.
“Umno adalah rakan kami dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Pusat dan kerajaan Perak. Saya dapati hubungan kami berjalan dengan baik.
“Semalam ketika mesyuarat Exco, kami bersemangat untuk terus membantu rakyat dalam menangani isu-isu koronavirus (Covid-19) dan sebagainya.
“Jadi, saya tak nampaklah ada masalah, setakat ini yang saya pasti, kerajaan yang mempunyai majoriti masih menjalankan kerja seperti biasa,” katanya kepada pemberita hari ini seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mendapat perkenan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, 13 Oktober ini.
Semalam, Anwar mendakwa beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, sekiranya Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa mempunyai majoriti kukuh dan meyakinkan, ia perlu dibuktikan di Parlimen dan di hadapan Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost

