Covid-19: Tak seorang pun murid SK Bangsar hadir ke sekolah

0
1

SERATUS peratus daripada hampir 800 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar di Kuala Lumpur, tidak hadir sesi pagi persekolahan hari ini.

Ia berikutan kebimbangan Ibu bapa selepas dua murid dilaporkan positif Covid-19.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bangsar, Mohd Yazid Mohd Yasin, hanya kakitangan pentadbiran dan guru sahaja yang hadir ke sekolah.

Katanya, guru juga turut diwajibkan menjalani ujian calitan sejak semalam.

“Semalam Kementerian Kesihatan sudah menjalankan ujian calitan pada murid dan guru yang hadir,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Hari ini, petugas kesihatan akan menjalankan lagi ujian saringan di kawasan yang dimaklumkan.

“Semua murid dan ibu bapa yang perlu menjalani ujian saringan ini sudah dimaklumkan dan dijangka mungkin lebih ramai akan melakukan ujian, memandangkan dua murid positif Covid-19 itu menjalani latihan persembahan beramai-ramai,” katanya.

Dua murid perempuan SK Bangsar itu, masing-masing murid tahun 4 dan 5 itu dipercayai dijangkiti daripada ahli keluarga mereka selepas pulang menghadiri kenduri baru-baru ini. 

Sementara itu, berdasarkan notis perintah tutup premis yang dikongsikan pembaca Malaysiapost, Pejabat Kesihatan Daerah Lembah Pantai telah mengeluarkan notis penutupan SK Bangsar.

Sekolah itu ditutup mulai jam 12 tengah hari tadi sehingga dibasmi kuman. – Malaysiapost