POLIS Daerah Timur Laut, Pulau Pinang menafikan dakwaan polis mengadakan sekatan dan penutupan jalan melibatkan empat Jalan Utama/Jalan Penjara di sekeliling Penjara Reman, Georgetown.
Mesej tersebut tular di media sosial ekoran terdapat kes Covid-19 daripada Kluster Penjara Reman.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata tiada laluan ditutup atau sekatan jalan raya dilaksanakan sekitar kawasan berkenaan buat masa ini.
Beliau juga meminta orang ramai menghentikan daripada menyebar maklumat tidak sahih.
Sementara itu, Pegawai Daerah Semporna, Asmat Benedict menafikan maklumat yang tular di media sosial kononnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau ‘lockdown’ dilaksanakan di Kampung Bangau-Bangau.
Ia berikutan terdapat Kluster Bangau-Bangau yang melibatkan hampir keseluruhan penduduk di kampung tersebut.
Sebaliknya, beliau menjelaskan kampung yang dimaksudkan hanya diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran.
Beliau juga menasihati orang ramai tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan situasi panik dalam kalangan masyarakat. – Malaysiapost

