TIDAK hadir ke sekolah selama sebulan kerana tiada wang!
Kisah pelajar dari Klang itu dikesan gurunya selepas menyiasat punca dia tidak datang ke sekolah sebelum memaklumkannya kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
LZS menerusi hantaran di Facebooknya berkata semakan mendapati, keluarga asnaf itu tidak memaklumkan perpindahan tempat tinggal mereka dan gagal mengemaskini maklumat terkini kepada pihaknya.
“Hal tersebut mengakibatkan bantuan tidak dapat disalurkan,” katanya.
Susulan itu, LZS memaklumkan pihaknya bersama guru telah menziarahi keluarga tersebut dan mendapati ketua keluarga kepada enam orang tanggungan ini hilang pekerjaan kesan pandemik Covid-19.
“Kami turut menyerahkan sumbangan tunai sebagai bantuan awal sementara bantuan lain menyusul,” katanya.
LZS turut berterima kasih kepada pihak sekolah kerana cakna perihal pelajar dan mengalu-alukan perkongsian maklumat serta kerjasama pelbagai pihak dalam menjejak dan menyantuni golongan memerlukan.

LZS turut mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat Selangor kerana wang yang tersebut dapat membantu mereka yang memerlukan. – Malaysiapost

