BARISAN Nasional (BN) memutuskan tidak menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi di Sabah, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
PRK itu perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya dari Parti Warisan Sabah, Datuk Liew Vui Keong, minggu lalu.
Ahmad Zahid menerusi kenyataan berkata keputusan tidak bertanding dibuat kerana BN merasakan perlu bagi mengelak penularan Covid-19 sekiranya PRK diadakan.
Katanya, ia sebagaimana yang berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.
“BN menyerahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memutuskan tempoh berkempen dan kesesuaian tarikh pengundian yang akan dilakukan kelak.
“Pada hemat BN, kesejahteraan dan kesihatan rakyat hendaklah menjadi keutamaan,” katanya.
SPR akan bermesyuarat Selasa ini bagi membincangkan tarikh penting untuk PRK Batu Sapi.
Semalam, Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan pucuk Umno dan BN agar tidak meletakkan calon untuk bertanding pada PRK Parlimen Batu Sapi.
Katanya, ia mengambil kira kegawatan penularan Covid-19 yang semakin meluas di Sabah hingga boleh mencetuskan risiko keselamatan kepada rakyat. – Malaysiapost

