Malaysia catat 375 kes baharu, 5 kematian hari ini

0
1

SEBANYAK 375 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, selain lima kes kematian turut dicatatkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 14,368 dan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 146 kes,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 371 kes hari ini adalah membabitkan penularan di dalam negara dan empat kes import.

“Daripada 371 kes tersebut, 342 kes adalah warganegara dan 29 kes bukan warganegara.

“Sebanyak 18 kes pula merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekali gus menjadikan jumlah kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September adalah 301 kes,” katanya.

Beliau berkata, daripada 271 kes yang dicatatkan di Sabah, enam membabitkan Kluster Ramai-Ramai manakala Kluster Laut (lima kes), Kluster Benteng LD (tiga kes), kluster baharu iaitu Kluster Tujuh Serangkai (tiga kes) dan Kluster Tanamera (dua kes).

“Selain itu, 36 kes dicatat di Selangor, Kedah (16 kes), Kuala Lumpur (10 kes), Labuan (10 kes), Sarawak (enam kes), masing-masing lima kes Johor, Perak dan Terengganu.

“Masing-masing dua di Negeri Sembilan dan Putrajaya serta masing-masing satu di Melaka dan Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, Sehingga kini, terdapat 60 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 20 kes memerlukan bantuan pernafasan.- Malaysiapost