SEKOLAH Menengah Agama (SMA) Sultan Ismail di Dungun, ditutup hari ini hingga 15 Oktober depan kerana seorang pelajarnya disahkan positif Covid-19.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, berkata ujian saringan akan dilakukan terhadap kontak rapat pelajar berkenaan pagi esok.
“Selain itu, Masjid Kampung Paya Resak di Marang juga ditutup mulai hari ini hingga 10 Oktober 2020 kerana terdapat pesakit Covid-19 telah menunaikan solat Jumaat di masjid itu pada 2 Oktober lalu.
“Aktiviti nyah kuman akan dilakukan sepanjang proses penutupan di kedua-dua premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
SMA Sultan Ismail adalah sekolah keempat ditutup di Terengganu selepas Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir di Kuala Nerus pada 5 Oktober 2020 dan SK Padang Kemunting pada 2 Oktober 2020 susulan kes positif Covid-19 dikesan di sekolah terbabit.
Mengulas lanjut, Dr Nor Azimi berkata, pihaknya mengarahkan sebanyak 16 premis ditutup sementara bagi tempoh 28 September hingga 6 Oktober lalu.
Katanya, ia membabitkan empat premis perniagaan, tiga sekolah, tiga klinik swasta, tiga kedai makan dan masing-masing sebuah masjid, tabika dan surau bagi mencegah penularan wabak itu. – Malaysiapost.
Gambar kredit : Sinar Harian

