SEJAK semalam tular di laman Facebook 23 kereta mewah yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terbabit dengan sindiket Macau Scam.
Antaranya kenderaan mewah itu termasuk Bentley, (Ford) Mustang, Roll Royce, Ferrari, Lamboghini, Porche, (Nissan) GTR dan beberapa motosikal berkuasa tinggi.
Namun apa yang mencuri perhatian netizen, ada antara kenderaan berkenaan didakwa milik pelakon dan pelawak, Shuib Sepahtu?
Perkara itu dibuktikan netizen dengan menyertakan tangkap layar gambar kereta milik Shuib yang pernah dimuat naik di Instagramnya.


Netizen juga percaya Shuib pernah memuatnaik gambar kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger hitam miliknya yang seakan sama dengan kenderaan disita SPRM, pada Januari lalu.
Menerusi hantaran itu Shuib menyertakan kapsyen: “Nama dia DOL, OK tak? Ke ada nama lain yang sesuai?.
Selain Ford Ranger hitam, netizen turut mendakwa sebuah lagi kereta mewah jenama Porsche putih yang turut disita SPRM, adalah kereta sama pernah
‘ditayang’ Shuib di laman sosialnya.
Baru-baru ini, SPRM merampas wang tunai sebanyak RM5 juta dan menyita 23 kenderaan mewah dalam siasatan pengubahan wang haram dan sindiket Macau Scam sejak beberapa hari lalu.
Beberapa individu termasuk dua orang bergelar Datuk Seri dan Datuk ditahan.
Difahamkan, mereka menggunakan populariti artis untuk menjalankan kegiatan ‘mencuci’ duit haram melalui pelbagai usaha sama dan perniagaan sah.
Minggu lalu, Shuib dan isterinya penyanyi Siti Sarah dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berhubung sindiket terbabit.
-Malaysiapost

