PKPB hanya di Mukim Klang – Ismail Sabri

0
2

PERINTAH Kawalan Pengerakan Bersyarat (PKPB) hanya dilaksanakan di Mukim Klang, bukan daerah Klang keseluruhannya, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata ia diputuskan selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan perbincangan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Ia tidak termasuk Kapar dan yang berada di daerah Klang. Bagaimanapun kerajaan masih berbincang dengan kerajaan Selangor mengenai kawasan dan lokaliti yang terlibat dan akan mengumumkan setelah ia ditentukan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, bagi memastikan aktiviti ekonomi dan bekalan barangan serta makanan tidak terjejas, mesyuarat juga bersetuju membenarkan beberapa aktiviti ekonomi beroperasi.

Katanya, Pasar Borong bermula jam 4 pagi sehingga 2 petang, manakala pasar biasa dari 6 pagi hingga 2 petang dan Pasar Tani bermula jam 6 pagi hingga 12 tengahari

“Namun, operasi pasar malam tidak dibenarkan. Selain itu, kedai makan, gerai dan warung boleh dibuka tetapi terhad dari jam 6 pagi sehingga 10 malam dan hanya untuk pembelian secara pandu lalu, penghantaran serta bawa pulang.

“Pengangkutan awam seperti bas, teksi termasuk e-hailing dibenar beroperasi bermula 6 pagi sehingga 12 tengah malam,” katanya.

Tambahnya, mesyuarat turut bersetuju Pelabuhan Klang beroperasi seperti biasa. – Malaysiapost