Suspek cemar Sungai Batang Benar ditahan

0
1

Fitri Nizam

POLIS menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kes pencemaran Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan, semalam.

Dua suspek berusia 20-an dan 30-an itu ditahan di Kota Bharu, Kelantan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata tangkapan dibuat berdasarkan maklumat awam selepas kedua-dua suspek berkemungkinan terbabit dalam kes berkenaan.

Bagaimanapun, beliau meminta semua pihak untuk memberi sedikit ruang dan masa kepada polis untuk menyiasat kes terbabit sebelum memaklumkan perkembangan selanjutnya.

“Semalam suspek baru ditahan dan dibawa ke Nilai kerana kes disiasat oleh pasukan Negeri Sembilan.

“Jadi berilah sedikit masa untuk kita siasat, kita tidak mahu terburu-buru atau tergesa-gesa serta dilihat bertindak melulu dalam siasatan kerana kes ini amat sensitif,” katanya pada sidang media, hari ini.

Kelmarin, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memaklumkan sejumlah bahan buangan dan bahan sebatian organik yang tersisa ditemukan di kawasan belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, iaitu punca pencemaran di sungai berkenaan.

Pencemaran itu menyebabkan dua Loji Rawatan Air iaitu di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan 309,687 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang. – Malaysiapost