Fitri Nizam
POLIS akan bertindak dengan lebih tegas dan keras tanpa mengira pangkat atau darjah seseorang itu jika didapati mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata ia sebagai usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19.
Beliau berkata, berdasarkan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, pihaknya menganggap situasi negara berada dalam keadaan kritikal.
Katanya, keadaan semakin meruncing susulan kes yang semakin meningkat saban hari dan berbeza dengan situasi pada bulan Mac lalu.
“Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak dengan lebih tegas, lebih keras… tanpa mengira sama ada apakah atau siapakah dia.
“Kita akan pastikan kita berusaha untuk memutuskan rantaian penularan ini dengan apa saja jalannya,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata, PDRM akan bertindak dengan lebih menyeluruh tanpa mengira pangkat atau darjat seseorang terbabit.
“Jadi jangan tanya kluster kayangan macam mana, kluster marhaen macam mana… semua kita akan pukat tunda sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan berhubung status terkini siasatan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang melanggar perintah kuarantin wajib selepas pulang dari Turki Ogos lalu.
Jawapan diberikan Acryl turut ditujukan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang membuat permohonan maaf kerana terpaksa melanggar perintah kuarantin untuk menyelesaikan isu masalah pencemaran air di Semenyih, baru-baru ini.
-Malaysiapost

