Covid-19: Masjid, surau 3 daerah di Sabah tutup

0
1

PEJABAT Mufti Sabah menetapkan masjid dan surau di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan ditutup berkuat kuasa hari ini hingga 16 Oktober depan.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, berkata ia susulan pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam, mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tiga daerah terbabit.

“Aktiviti dan program di masjid serta surau ditangguhkan, termasuk solat berjemaah tidak dibenarkan, kecuali melaungkan azan pada lima waktu solat.

“Muazin hendaklah melaungkan azan dengan menambah lafaz ‘solatlah di rumah kamu’ selepas azan supaya difahami masyarakat beragama Islam di sekitarnya.

“Selain itu, solat Jumaat pada 9 dan 16 Oktober depan tidak dibenarkan. Justeru, ahli kariah wajib melaksanakan solat fardu zohor di kediaman atau tempat masing-masing pada masa solat Jumaat itu,” katanya dalam kenyataan.

Bungsu turut memaklumkan, semua masjid dan surau dalam Zon Merah ditutup hingga 16 Oktober depan, manakala yang berada dalam Zon Kuning serta Zon Hijau dibenar melaksanakan solat Jumaat dan sembahyang berjemaah lima waktu mengikut ketetapan tertentu.

“Bagi masjid dan surau dalam Zon Kuning serta Zon Hijau, bilangan ahli jemaah dibenarkan untuk solat Jumaat ialah 40 orang dan sembahyang lima waktu 12 orang. Bilangan itu termasuk ahli jawatankuasa masjid, imam dan khatib,” katanya. -Malaysiapost