Pemulihan bekalan air baru 17 peratus

0
1

Fitri Nizam

SEBANYAK 46 daripada 274 kawasan yang terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual sudah menerima bekalan air sepenuhnya sehingga jam 6 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor, Elina Baseri, berkata kawasan yang pulih itu merangkumi 17 peratus daripada keseluruhan kawasan terjejas.

Katanya, sebanyak 228 kawasan lagi masih dalam proses pemulihan.

“Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan-kawasan yang terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Elina, dua daripada empat wilayah masih belum menerima bekalan air setakat ini iaitu di Hulu Langat dan Sepang/Putrajaya.

“Dua wilayah lagi iaitu Petaling tahap pemulihan pada 37 peratus manakala Kuala Langat pada tahap 55 peratus,” katanya.

Beliau berkata, pengguna dinasihatkan supaya tidak menyimpan dan menggunakan air secara berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan terjejas berjalan lancar mengikut jadual. -Malaysiapost