MENAIKI ambulans sejauh hanya 30 meter untuk menjalani pemeriksaan x-ray adalah antara pengalaman baharu dilalui wartawan, Azrul Affandi Sobry yang telah dua hari berada di wad isolasi Hospital Sungai Buloh.
Wartawan akhbar The New Straits Times Press (M) Bhd itu disahkan positif Covid-19 selepas pulang membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Menceritakan pengalamannya di Facebook, Azrul berkata beliau bersama lapan pesakit lain dipanggil pada jam 6.15 petang semalam untuk menjalani x-ray dan mereka perlu beratur serta menunggu pintu yang dikunci mangga dibuka.
Katanya, itu rutin di wad 43, tidak kira siapapun yang datang sama ada ambulans atau doktor, perlu menunggu petugas khas yang memegang kunci mangga jeriji membukanya.
“Memang selalu juga suasana itu menjadi hidangan mata kami. Tiap kali nampak lampu ambulans di luar, pasti semua mata menunggu bila pintu dibuka dan apa seterusnya. Sama ada pesakit baru atau ada nama dipanggil.
“Kali ini nama aku dipanggil. Mahu dibawa ke unit x-ray. Mungkin jauh agaknya. Tapi rupanya, masuk ke ambulans, baru bergerak 30m dah berhenti dan sampai. Dekat sangat ni. Kalau jalan, tak sempat nak menitis peluh pertama.
“Malah, rasanya ambulan ni hanya sempat masuk gear 2 (kalau manual). Xray pula berjalan pantas. Kami sembilan orang selesai dalam masa tak sampai 15 minit.
“Tapi respek (hormat) betul semua selesai dengan mudah dan cukup teratur. Tidak ada satu ruang yang mereka biarkan jadi kelompangan. Jarak dekat pun, tetap naik ambulans,” katanya.

Kejutan di tengah malam
Menurut Azrul, pada sebelah malam beliau rancak berbual bersama lima lagi pesakit dengan topik dibualkan ialah isu politik Sabah dan pelbagai hal lain lagi.
Selepas penat berbual lebih sejam hingga tekak kering dan perit, beliau kembali ke katil namun baru seminit lampu dipadamkan, datang seorang pesakit bertanya namanya lalu memintanya menyiapkan semua barang.
“Aku perlu dipindahkan ke wad pemantauan. What!! Terus berdebar. Asalnya tadi aku dah rasa tenang, kali ni debar kuat kembali.
“Sambil kemas barang, sambil otak berlegar. Aku ada masalah apa ya sampai perlu dipantau. Tapi yang buatkan aku kuat, seorang demi seorang rakan wad tu datang bantu aku kemas, dan bagi kata semangat.
“Aku dibawa ke wad 5A Hospital Sungai Buloh. Sampai di sini, aku tengok semua pasukan bersedia betul. Pengawal keselamatan pun macam di medan perang. Nak naik lif pun siap guna walkie talkie dan bagi amaran ke atas – “Dah masuk lif. Tingkat 5 ready!”
“Bukan setakat sembang santai tapi gerak dan reaksi mereka macam di medan perang. Aku sebenarnya kagum tapi ketawa dalam hati. Tapi aku sedar betapa serius mereka tangani masalah C19 ini,” katanya.
Bercerita lanjut, Azrul memaklumkan dia seterusnya berjalan menuju wad dan terbayang akan disambut ramai petugas kesihatan lengkap dengan pakaian pelindung diri (PPE).
Bagaimanapun katanya, ia meleset sama sekali, sebaliknya mereka hanya memakai uniform plastik dan pelitup separuh muka, memberi gambaran penjarakan fizikal dan pelitup muka lebih penting.
“Tak perlu PPE lengkap pun. Walaupun katil aku betul-betul depan kaunter utama dan jarak dengan mereka hanya 6 meter, mereka juga tidak pakai PPE. Hanya pakai PPE jika mahu dekati pesakit dan membuat pemeriksaan.
“Satu pengalaman dengan kaca mata sendiri. Ada hikmah aku masuk ke sini dan rasa semuanya. Dari wad isolasi ke wad pemantauan.
“Kalau tanya aku, wad mana lagi best, aku pilih wad isolasi. Walaupun di sana macam asrama KEM BINA INSAN, katil rapat-rapat, tak ada privacy, dan walau wad 5A ini lebih kemas, selesa, tandas besar, tapi suasana dalam wad 43 lagi best sebab di sana tak rasa macam wad.
“Kami bebas keluar ke taman kecil. Bebas duduk bersidai di pantri. Bebas menyembang sesama kami sampai mengantuk. Sharing is caring there.
“Di wad 5A, aku hanya duduk di katil sendiri memerhati apa yang doktor dan nurse tengah buat di kaunter utama. Baik-baik mereka,” katanya sambil memberitahu wad itu asalnya wad pediatrik yang dijadikan wad untuk pesakit Covid-19.
Satu wad dengan timbalan menteri
Azrul berkata, disebabkan beliau pesakit paling dekat dengan kaunter utama, jadi apa saja perbualan dan catatan di papan putih dapat dilihatnya.

“Sukalah aku baca semua yang tertulis. Pesakit paling muda dalam ward 5A, budak berusia 6 tahun dan paling tua berusia 71 tahun. Budak 6 tahun tu aku rasa masuk satu family sebab mereka berempat dimasukkan dalam satu bilik pertama bersama-sama.
“Aku belek lagi papan putih dan… mata aku terbeliak baca satu nama di katil XX, Datuk Dr xxxx xxxx xxxx, seorang timbalan menteri pun ada dalam wad ini.
“Betullah Covid ini tak kira siapa. Kalau VVIP dah kena, ada juga terpaksa masuk wad sama dengan kami. Satu lagi pengajaran yang aku dapat. Satu lagi, separuh daripada 17 pesakit dalam wad ini adalah dari kes Sabah, termasuk timbalan menteri,” katanya.
Hikmah di sebalik penyakit
Beliau juga menyatakan banyak pengajaran diperoleh untuk dikongsi, antaranya jika di luar sana, seluruh dunia terpaksa menjarakkan saf untuk solat berjemaah, namun pesakit Covid-19 di ward 43, tidak perlu, malah saf dirapatkan.
Katanya, solat di wad isolasi lebih tenang dan tiada kegusaran, begitu juga tidak perlu bimbang makan satu meja kerana semuanya ada penyakit yang sama.
“Di luar sana, mahu makan di meja bersama orang lain, risau ada penyakit, di ward 43, kami semua ada penyakit yang sama dan kami tidak rasa rimas atau kurang selesa walaupun duduk semeja dan ada rakan batuk kerana kami tahu, kami juga pesakit sepertinya.

“Jika ada yang rasa pesakit Covid wajar dijauhi, takpe.. kerana kami ada rakan yang sama senasib dengan kami yang sentiasa melambai rakan yang lain ajak duduk bersama dan berkongsi apa yang ada.
“Semalam, aku dapat rasa makan kek yang dihantar seseoarang kepada pesakit di sini dengan ucapan, GET WELL SOON!” – Malaysiapost

