Kerangka roda rosak, perkhidmatan Monorel KL tergendala

0
1

Nurul Huda Abhar

GANGGUAN perkhidmatan Monorel Kuala Lumpur (Monorel KL) yang berlaku awal pagi tadi berpunca daripada sebuah “workcar” yang terkandas.

Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan kejadian berlaku berikutan “bogie” atau kerangka yang membawa roda yang dipasang pada gerabak, rosak ketika memasuki depot pada jam 4.35 pagi tadi.

Ketua Pegawai Operasi Rapid KL Laluan Monorel, Mohd Ariffin Idris, berkata kerosakan yang berlaku pada awal pagi tadi telah dibaiki sepenuhnya.

“Semua laluan Monorel Kuala Lumpur terjejas berikutan sebuah ‘workcar’ yang terkandas di Suis empat.

“Namun perkhidmatan mula beroperasi sepenuhnya setelah kerosakan tersebut dibaikpulih,” katanya pada sidang media khas di Depot Monorel, Brickfields, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Terdahulu, Tajuddin turut meninjau pemulihan kerosakan yang dikendalikan pihak Rapid Rail Sdn Bhd.

Sementara itu, Tajuddin berkata, tindakan segera telah diambil bagi memulihkan kerosakan untuk memastikan penumpang tidak terjejas begitu lama ekoran perkhidmatan tren tergendala.

“Kita bimbang ini akan menjejaskan perkhidmatan pengangkutan awam. Prasarana sentiasa cuba beri yang terbaik kepada penumpang.

“Bila jadi seperti ini, yang paling diutamakan adalah masalah yang dihadapi penumpang dan kita sedaya upaya menjaga kebajikan mereka.

“Saya dan pihak atasan ada bermesyuarat dan mengambil keputusan turun padang untuk lihat sendiri keadaan ini,” katanya.

Rapid Rail dalam kenyataan hari ini juga memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi oleh pengguna Monorel KL awal pagi tadi.

Syarikat itu memaklumkan perkhidmatan mula beroperasi dengan tren pertama pada jam 7.57 pagi dan kembali pulih sepenuhnya pada jam 9.42 pagi. -Malaysiapost