Isu tunggakan gaji: FAM tak berani jamin

0
1

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) tidak memberi jaminan isu tunggakan gaji yang membelenggu Liga Malaysia (Liga M) tidak akan berlaku walaupun selepas semua pasukan diswastakan.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam menjelaskan masalah itu hanya boleh diselesaikan sekiranya semua pasukan dapat membentuk pengurusan kewangan pada tahap terbaik.

“FAM tak boleh (bagi jaminan), kalau FAM yang kendalikan pasukan dan bayar gaji, mungkin boleh (beri jaminan). Tapi ini proses profesional yang kami bekerja dengan pasukan.

“FAM sebagai badan induk tidak boleh jawab atau bagi apa saja jaminan, tapi adalah tugas kami untuk bekerjasama dengan pasukan bagi memastikan perkara ini dapat diselesaikan.

“Isu tunggakan gaji bukan isu semasa, ia berlarutan sudah lama dan lebih kepada pengendalian pengurusan kewangan dan pengurusan tempatan.

“Kami rasa daripada program dan kursus yang diadakan dapat memperkasakan semua pasukan untuk perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

FAM juga mengesahkan 13 pasukan lulus lesen kelab untuk beraksi dalam Liga Super dan Liga Perdana tahun depan, manakala tujuh lagi pasukan diberikan lesen bersyarat. -Malaysiapost