Covid-19: Sekatan dari Sabah ke Semenanjung, Sarawak, Labuan mulai esok

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

KERAJAAN bersetuju mengenakan sekatan perjalanan dari Sabah ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan bermula esok hingga 20 Oktober ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira peningkatan kes Covid-19 di negeri berkenaan.

“Bagaimanapun, terdapat pengecualian khas diberi kepada kes-kes tertentu yang membabitkan kecemasan, kematian, perkhidmatan perlu dan lain-lain yang perlu mendapat kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mereka yang telah mendapat kebenaran perlu menjalani ujian saringan Covid-19 oleh KKM setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, bagi pergerakan masuk ke Sabah, kebenaran diberikan kepada beberapa kategori.

“Iaitu, rakyat Sabah yang memegang MyKad kod H; pasangan kepada rakyat Sabah yang memiliki pas imigresen Malaysia yang sah tempoh yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, atau bukti perkahwinan dan sijil lahir anak.

“Pekerja bidang perkhidmatan perlu (essential service) yang mempunyai pas Imigresen Malaysia yang sah tempoh dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah; pelajar bukan rakyat Sabah yang mempunyai kad/pas pelajar daripada Jabatan Imigresen Sabah.

“Selain Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan yang berkhidmat di Sabah perlu mendapatkan cop seksyen 66(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 di pejabat Imigresen Sabah setelah masuk ke Negeri Sabah;  Pemastautin tetap Sabah yang memiliki MyPR kod H atau Kad Permit Masuk atau endosmen permit masuk dalam passport,” katanya.

Beliau berkata, golongan itu hendaklah membuat permohonan kepada Jabatan Ketua Menteri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan untuk pertimbangan.

“Mereka juga akan menjalani ujian saringan Covid-19 oleh KKM setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing.

“Sebarang pertanyaan lain boleh diajukan kepada Bilik Gerakan Bencana Negeri Sabah di talian 088-369434,” katanya. – Malaysiapost