Tiada laluan percuma untuk Warisan di Batu Sapi- Tajuddin

0
1

Nurul Huda Abhar

WAKIL rakyat bagi Parlimen Batu Sapi, Sabah harus dipilih oleh rakyat sendiri, kata Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata tiada istilah “laluan percuma” dalam penentuan wakil rakyat kerana semua harus berteraskan proses pemilihan dan undian secara adil.

“Kena pilih wakil rakyat yang baharu, mengikut kehendak pengundi. Bukan berpandukan kepada kehendak sesetengah pihak sahaja.

“Meskipun rakyat kata mahu bagi laluan percuma, mesti juga kena melalui proses pemilihan. Mana boleh main tunjuk-tunjuk saja,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan mengenai cadangan pihak tertentu bahawa kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi diisi terus calon Parti Warisan Sabah (Warisan) tanpa melaksanakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Bagaimanapun, beliau berharap semua pilihan raya perlu ditangguhkan dahulu berikutan peningkatan kes Covid-19 yang semakin mendadak.

“Oleh kerana kita sekarang dalam keadaan luar biasa (Covid-19), akan ada risiko yang besar jika adakan pilihan raya.

“Saya harap kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memikirkan sebaiknya tentang ini.

“Kalau bagi saya, elok di tangguhkan dahulu pilihan raya,” katanya lagi.

Dewan Rakyat hari ini mengemukakan pemberitahuan kepada SPR berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Batu Sapi berikutan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong yang mewakili Warisan.

Mendiang yang berusia 60 tahun, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Gleanegles Kota Kinabalu. – Malaysiapost